Sunday, January 8, 2017

MEAT IS MURDER



MEAT IS MURDER

Shahril berselipar jepun lagi hari ini. Dia bersarung seluar cargo berpoket tepi yang dipotong di bawah lutut tapa dijahit dan baju bercetak Rich Kids on LSD, sebuah kugiran punk rock yang pernah digilainya suatu ketika dulu. Dia menghabiskan sisa-sisa Gudang Suryanya, dijentik dengan jari dan disusuli ludahan kahak hijau yang jatuh elok di tepi longkang. Seseorang menghampiri dan menghulurkan sekeping sampul surat bersaiz A4.

Taman Hutan Bandar Bandar Johor Bahru panas menggigit hari ini. Mata si pemuda berambut dreadlock  agak liar memerhati sekeliling dan Shahril tenggelam dalam batuknya.
               
“Teruk nampak?” Tanya Daud.

                “Nak pecah dada beb.” Jawab Shahril.

                “Balik tidurlah, layan Kodin?”

                “Nak buat macamana, cari makan. Kau stim ubat batuk pulak ke?”

                Daud tidak menjawab, membuka kotak rokoknya dan diramas apabila mendapati isinya kosong. “Haisss… “ Keluh Daud panjang. “Dah, aku pergi dulu, dalam tu ada alamat, …kat Skudai Susah sikit nak cari, ceruk sikit. Bak okok sebatang.” Daud meraba rokok Shahril yang terletak di poket tepi kiri seluarnya, mengeluarkannya sebatang. “Welcome back to JB.” Katanya dan terus melangkah untuk pergi..

                “Pagi esok?” Tanya Shahril.

                Daud berhenti dari melangkah dan berpaling dengan putting Surya di mulut. “Pagi…dalam pukul semilan ke sepuluh. Biasa dia antar barang kat situ tiap hari rabu. Kadang-kadang berenti minum kat situ.” Dia meraba poketnya mencari pemetik api tapi tiada ketemu. Dia kemudian mendekati Shahril, mengambil lighter dari poketnya, membakar rokoknya dan berlalu lagi.

                Daud dah pun menghilang dan Shahril mula mengeluarkan isi perut sampul tersebut. Terdapat beberapa keping gambar kompaun sebuah ‘kilang’ haram dari pelbagai sudut, dan gambar seseorang yang pernah dikenalinya- Shabri.

                Shabri adalah seorang yang dikenali sewaktu zaman remajanya dahulu. Dia diketahui umum, seperti Shahril juga, seorang yang menggemari muzik keras di dalam scene punk/ hardcore, namun mempunyai perangai yang pelik, suka menyendiri dan seorang vegan yang agak keras dengan pendapatnya, kalau pun bukan ‘garis keras’.

                Shahril mengingati Shabri dalam kepalanya dan meninjau watak itu sewaktu mudanya- karekternya, fizikalnya. Kurus, tinggi, bercermin mata  dan tak lekang dengan ‘capnya’ yang bertulis “meat is murder”, bersesuaian dengan pendapatnya bahawa amalan pemakanan daging adalah kezaliman kepada makhluk haiwan, maka penyembelihan adalah satu bentuk pembunuhan.

                Apa kena-mengena Shabri dalam siasatannya kali ini?  Jawapannya adalah kilang tempat Shabri bekerja. Kilang yang berupa banggunan kayu buruk hampir roboh tersembunyi di pedalaman jauh dari jalan utama. Kilang itu bukan sahaja beroperasi secara haram tanpa diketahui jelas produk keluarannya, ia juga adalah disyaki menjadi tempat terakhir beberapa penjenayah kongsi gelap yang amat dikehendaki pihak berkuasa akhir-akhir ini. Dengan kata lain, kilang itu dipercayai tempat ‘wanted gangsters’ tersebut bersembunyi.

                 ‘Geng Long 36’, nama kumpulan gangster tesebut yang keahliannya mudah dikenali pada tattoo 36 berbentuk naga di bahu ahlinya. Jejak mereka dapat dihidu apabila dua buah kereta yang digunakan mereka tersadai beberapa hari di sana, tersadai di tepi kilang sebelum dialihkan. Sebelum itu pun, polis telah pun menghidu kehadiran ahli kumpulan itu ke daerah ini. Dan Shahril dikirim khas dari Bukit Aman untuk menyelidik sebaik sahaja berita itu dihidu dua malam yang lepas.

                Telefon berbunyi dan Shahril menjawab. “Hello…” jawabnya sambil mendengar maklumat dari hujung talian. “Ok, share location, aku datang sekarang.”

……………………………………………………………………………………………………………………………………

                Sampul bercetak PDRM dimasukkan kembali ke dalam dashboard keretanya dan enjin dimatikan. Shahril keluar dari kereta dan menuju ke arah  ‘mamat’ yang bertali leher yang diiringi seorang angota polis lengkap beruniform. Pada masa sama kren sedang mengangkat naik sebuah kereta yang sebelumnya tenggelam di dalam sungai. Pintu kereta Iswara Aeroback yang masih tergantung diikat rantai kren itu terbuka dan air dengan lajunya muntah mencurah dari dalam kereta ke tebing sungai.

                “Encik….errr…Shahril?” Tanya Herman si lelaki bertali leher.

                “Ya.” Jawab Shahril.
               
                “Herman, forensik.” Jawab Herman memperkenalkan diri menghulurkan salam.

                “Ada apa-apa? Uhuk! uhuk!” Shahril mengeluarkan rokoknya menghampiri kereta yang basah sedikit berlumut di hadapannya. Batuknya masih ada sesekali.
               
“Pelik.” Kata si lelaki bertali leher. “Peluru ngan pistol ada lagi dalam dashboard.” Merujuk kepada kereta tadi, sebuah lagi kereta milik Geng Long 36 yang telah berjaya dinaikkan lima pulut minit tadi. “Macam diorang nak blah lari terburu-buru sebelum junam kereta ni ke sungai.”

Shahril mengambil pen dari saku Herman dan menunjukkan pada fabrik kerusi belakang kereta, ke arah tompokan merah yang masih kekal bersisa gagal dibasuh oleh air sungai. “Kau rasa apa ni?” Tanya Shahril.

“Hmmm…confirm darah…aku rasa dari kes samun kedai emas hari tu. Berbalas tembak dengan anggota kita.” Tali lehernyanya dilurut ke bawah dan dicabut dan disakukan di poket kiri dadanya. Belakang kemeja Herman basah berkeringat.

“Ni?” Tanya Shahril merujuk pada fabrik kerusi yang koyak bagai cakaran binatang.

“Can be anything. Hmmm…ada lead?”

Shahril mengelak badannya apabila seorang anggota polis datang dengan kamera ke kerusi belakang dan mula mengambil gambar. “Ntahhh…” Katanya ringkas dan mula menghidupkan keretek yang baru dikeluarkannya tadi. “Sebenarnya ada, esok start. Hmmm…Haisss…pelik.”

“Well…” Herman menjungkitkan bahu. “Ni satu lagi.”katanya sambil memasukkan satu lagi peluru ke dalam plastik kecil.

…………………………………………………………………………………………………………………………………

                Jam hampir ke pukul sebelas dan Shahril masih menunggu di kedai makan yang dimaksudkan. Telah beberapa jam dia berada di situ menunggu. Dia melepaskan surat khabar yang dibacanya dan mula mengambil kunci di atas meja. “Dia tak datang kot?” Terdetik dihatinya.


                Seseorang datang dengan remote control di tangannya dan menguatkan suara televisyen.

                “Kereta yang ditenggelamkan di sungai tersebut dipercayai milik suspek yang terlibat dengan aktiviti rompakan ngeri kedai emas baru-baru ini yang mengorbankan nyawa pemilik premis dan dua pembantunya. Susupek juga dipercayai…” suara pembaca berita bergema kuat dan kemudian diperlahankan kembali sedikit

                “Ni yang kat Skudai tu. Dua-dua bijik kereta dibuang kat sungai. Apa bodohnya… Hahhaha.” Kata si pemegang remote.

                “Baik bagi kat den ni haa…takdo lah dek kojo naik kapcai hari- hari…” Kata yang lain disambut dengan deraian tawa beberapa yang lain.

                “Alaaa, sah-sah la kereta curi tu. Kalau idak takkan la dia buang.” Kata seorang yang lain dengan mata tidak beralih dari Harian Metro.

                Shahril mendengus dan melihat jam di tangannya Diabaru ingin mengangkat punggungnya tiba-tiba bahunya ditepuk. Dia sedikit terperanjat.

                “Shahril? Shahril kan?” Kata lelaki itu.

                “Eh, macam kenal?” Jawab Shahril. “Ni Shabri kan? Shabri Vegan? Hahhaha.” Shahril berlakon bagaikan pertemuan itu tidak dirancang. Padahalnya, dia menunggu Shabri sejak beberapa jam yang lalu.

                “Kau buat apa ni?” Tanya Shahril menyembunyikan rasa terkejutnya.

                “Hantar barang sikit. Tuu…” Bibirnya dijuehkan menunjukkan pada seorang awek berbadan sasa bert-shirt Morrisey sedang mengangkut dua kotak barang.

                “Eh lepak ah dulu. Minum jom.” Kata Shahril.

                “Mmm…ok lah, kejap, aku tak boleh lama ni. Nak buat delivery.” Kata Shabri membetulkan capnya.

                “Kau, macam dulu lagi ke?  Lawa cap! Kau vegan lagi ke?” Tanya Shahril.

                “Ha’ah. Ni.” Kata Shzbri menunjukkan capnya yang bertulis ‘Meat Is Murder.’ Live healthy. Fork over knife.”

                “Apa daa..meat is murder? Hehhehe…ok lah tu. Apa pun, bagus kau ek, bertahan dengan prinsip.”

                “Ini bukan prinsip beb. Ini common sense yang orang tak Nampak. Ye lahhh, bayangkan kalau adik kau disembelih dibuat masak kicap, Bayangkan daging kawan kau dikisar, dibuat daging burger. Tarok cili, mayo mustard, lattuce semua, Kau nak makan? Heheh.  Tiba-tiba dia memperlahnatkan suaranya. “Bayangkan kau sendiri, kena kurung sepanjang hayat lepas tu disembelih dan dimasak kat kedai dijual, tulis sign besar-besar, Shahril masak biryani, Beryani Gam Shahril…. Ok dak? Hahhahaa!” Ketawanya meletus kuat. Reaksi antara lawak dan keseraman.

                “Whoaa…sabar beb. Tak pernah tau pulak kau fikir sampai macam tu.” Shahril menelan air liur. “Psycho mamat ni” Detik hatinya.

                “Well, The society is sick. Nak buat macam mana? Hahhaa…” Gelak Shabri.

                “Pon! Pon!” bunyi hon dari gadis sasa tadi yang duduk di sebelah penumpang van Isuzu kecil berusia belasan tahun.

                “Sorry beb. Aku kena pergi dulu.” Kata Shabri.

                “Ehh, boleh la beb lepak mengeteh mana-mana. Bak nombor phone kau.” Shahril mengeluarkan telefonnya untuk menaip.

                Shabri mengeluarkan pen dari poket seluarnya dan menarik tangan Shahril dan mula menulis nombor telefon di tapak tangan Shahril. “Ok, pegi dulu beb, cari makan!” Kata Shabri separuh tergesa-gesa melangkah. Mukanya kembali serius.

                Shahril tercegat melihat rakan lamanya itu melangkah. “Shabri…, hehe.. barang menda yang kau hantar tu?” Tanya Shahril sedikit menjerit.

                Shabri berhenti melangkah dan berpaling. Dia memasukkan tangannya ke poket seluarnya. Keningnya pun diangkat ala The Rock. “Daging burger.” Katanya ringkas, senyum jahat dan terus berlalu menuju van.

                Shahril masih lagi tercangang tanpa reaksi. Sedikit lucu dihatinya dan hampir dia pecah ketawa. Namun dia membiarkan rasa lucunya mati dan tidak menggangu penyamarannya sambil menyaksikan pintu van dikatup dan pemandunya. “Meat is Murder, tapi hantar hamburger patties? Betul ke tak betul mamat ni?”

…………………………………………………………………………………………………………………………………..

                Dari dalam Volvo 240 biru, Shahril sedang meneropong ke arah kilang kayu yang dilindungi semak samun itu. Jam menunjukkan 4.15 pagi dan mereka telah berada di sana selama lebih dua jam. Kereta diletakkan agak jauh di jalan tanah merah lebih kurang 300 meter dari kilang tersebut.

                Daud diajak sekali untuk menunjukkan lokasi kilang. Dia memulas tangkai membuka cermin kereta untuk meludah. “Dah, aku nak terkencing ni.” Katanya sambil membuka pintu kereta.

                Shahril mengeluarkan pistol Glock 43 9mm dari belakang seluarnya dan menarik picu keselamatan. “Tunggu sini,” katanya.

                “Whoaa…kau nak masuk ke? Kau gila. Kau ingat ni Hollywood masuk sorang-sorang tanpa back up.” Kata Daud yang sedikit cuak di sebalik dreadlocknya.

                “Abih tu, kau nak duduk saja kat sini?” Jawab Shahril.

                “Ok, aku stop kat sini. Aku nak blah. Kau nak jadi Rambo ke apa, kau pegi sorang-sorang.” Kata Daud.

                “Dah takde orang bai. Kau jugak kata tadi.” Kata Shahril.

                “Sapa kata takde,…tengok tu.” Kata Daud menunjukkan ke arah kilang. Seseorang mengheret mengeluarkan scooter dari pintu banggunan, ditutup pintu banggunan dan dikunci dari luar. Scooter dihidupkan dan kenderaan dua roda itu pun bergerak. Ternyata penunggangnya adalah gadis sasa pengangkat kotak siang tadi.

                “Ingat beb. Ada kemungkinan geng-geng gangster tu masih bersembunyik kat dalam. Aku tak paham, kenapa takde polis datang buat tinjauan.” Kata Daud sambil melihat Shahril yang tidak berganjak dengan keputusannya. “Ok, aku nak blah. Kau nak jadi Bruce Willis ke, Mel Gibson ke kau jadilah. Aku nak balik tido.”

                Tetap pintu kereta dibuka dan Shahril keluar berlari-lari anak ke bangunan kilang tersebut.

                15 minit kemudian Shahril berada di tepi banggunan dengan pistol di tangan dan lampu suluh di terselit di pinggang. Dia masih lagi berpusing mencari jalan untuk masuk tanpa perlu mematahkan rantai atau merosakkan kunci. Di pandang ke atas dan ada cahaya lampu suram yang keluar dari bawah bumbung. Ternyata ada satu ruang yang membolehkan seseorang masuk jika bangunan itu boleh dipanjat. Dia ingin memanjatnya namun niatnya dibatalkan melihat pada pintu besar yang dikunci dengan rantai. Agaknya, rekahan antara pintu jika ditolak mungkin berhasil sesorang lolos ke dalam. Dan sangkaannya tepat, dia Berjaya ke dalam dengan sedikit kegigihan merenggangkan pintu.

                Cahaya suram membolehkan bahagian dalamnya dilihat. Dengan penuh hati-hati dan pistol di tangan, Shahril menyusuri ruang bersimen itu dan melampaui beberapa ruang bilik. Kelihatan alatan memproses daging cincang dan satu meja konkrit besar di mana masih ada kesan daging di tepi-tepi penjurunya. Sungguh kerbersihan tidak dititikberatkan.  “Meat is Murder konon…chaiszz” Detik hati Shahril sambil menutup hidup dari bau yang sedikit tidak menyenangkan.

                Dia kemudian menghala ke bilik sejuk. Dia menyusuri dinding simen mencari suis untuk menerangi bilik yang gelap itu namun tidak ketemui. Dibawanya lampu suluh di pinggangnya dan dinyalakan. Pistolnya diselit ke pinggang. Dengan sedikit usaha, pintu bilik sejuk dapat dibuka dan dia masuk ke dalam.

                Kelihatan dalam kelam itu, berkotak-kotak paket daging burger disusun elok di tepi dinding. Di hujung sana,banyak daging-daging yang tergantung. Dia menyuluh dengan lampu suluhnya untuk melihat sekeliling.

Di sebelah tepinya ada kotak yang berlainan. Dia mengambil pisau lipat dari poketnya dan membuka kotak dengan cermat. Ternyata hanya terdapat bungkusan pek sosej. Tiba-tiba, kepelikan bertandang di kepalanya. Agak lain bentuk daging-daging tersebut di dalam samar-samar gelap malam. Dia berusaha melihat dengan limpahan cahaya lampu suluh yang terhad itu.

                Dia menghampiri daging yang tergantung. Tiba-tiba dia kaget. Rupanya yang tergantung adalah bahagian peha manusia. Dia tersentak kebelakang. Memang, yang tergantung di bilik sejuk itu bukanlah daging lembu tetapi daging manusia. Dia mula ingin meluru keluar dan dalam kelam itu dia kepalanya tertolak gantungan daging yang lain. Diperhatikan daging yang dilanggarnya tadi dan lampu suluhnya dihalakan lampu sluh semakin dekat. Sekali lagi dia terkejut. Daging itu merupakan bahagian atas badan manusia dengan lengan terkulai dan bahu yang terdapat tattoo naga berbentuk nombor 36. Tiba-tiba lampu suluh terlucut dari tangannya dan jatuh ke lantai.

Dengan cepat dia menunduk dan mengambil lampu tersebut. Dia menegakkan badannya dan apabila lampu tadi disuluh kedepan, kelihatan satu bentuk manusia tercegat di depan. Rupanya ia adalah Shabri dengan kapak di tangan dan muka tersengih.

Shahril mengambil pistol dari pinggangnya. Dalam ketakutan itu dia ingin mengacu pistol ke depan namun pistolnya terlepas dari tangannya. Dia menunduk untuk mendapatkan pistol namun pantas pistol disepak jauh oleh Shabri. Dia menyuluh muka Shabri dan mengundur dalam ketakutan. Senyuman Shabri semakin melebar. Matanya semakin tajam. Senjatanya diangkat tinggi. “Meat Is Murder,” katanya dan kapaknya pun dihayun ke arah kepala Shahril dan………………………………..



********************************************************************************

Feel free to share di Facebook, ika anda suka apa yang anda baca, pergi ke home (klik LIPASLITERASI di atas atau di sini, dan jemput baca cerpen-cerpen yang lain.

Saya juga ada menulis novel berjudul Paramalang (424 mukasurat), Sebuah novel urban tentang harapan, cinta, perahabatan, kekecewaan, erti kehidupan dan punk rock! Dapatkan novel PARAMALANG. whatsapp ke 019-3020248 (Matyie Abahaydar)



               

                

No comments:

Post a Comment